Rabu, 4 September 2019

PENULISAN KARANGAN CEMERLANG

Program Peningkatan Prestasi Bahasa Melayu SPM Negeri Kedah  
Modul Budidaya BM SPM Negeri Kedah-[dipetik untuk rujukan murid calon SPM]
 
OLEH: HJ HARUM BIN AWANG MUNSYI DEWAN, SMK SULTANAH ASMA

 TEKNIK PENULISAN KARANGAN CEMERLANG
       BINAAN KARANGAN  

PENGOLAHAN PENDAHULUAN 

 Contoh soalan:Huraikan pendapat anda punca-punca kemalangan jalan raya
Tajuk:  Kemalangan di jalan raya
Skop:   Punca kemalangan di jalan raya

Teknik Penulisan Pendahuluan
Ayat 1 (A1) Pernyataan soalan/tajuk
Ayat 2 (A2) Isu
Ayat 3 (A3) Keseriusan isu
Ayat 4 (A4) Persoalan
Ayat 5 (A5) Kehendak soalan


Ayat 1 (A1)
Pernyataan soalan/ tajuk
Kemalangan di jalan raya sering dilaporkan dalam media massa.

Ayat 2 (A2) 
Isu
Kadar kemalangan di jalan raya semakin serius dan bertambah terutamanya pada musim perayaan.

Ayat 3 (A3) 
Keseriusan isu
Banyak pengguna jalan raya telah terkorban dalam kemalangan di jalan raya dan hal ini membimbangkan pengguna-pengguna jalan raya kerana malang tidak berbau.

Ayat 4 (A4) 
Persoalan
Persoalannya, mengapakah kadar kemalangan di jalan raya bertambah pada setiap tahun walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk menanganinya?

Ayat 5 (A5)
Kehendak soalan
Terdapat berbagai-bagai punca berlakunya, peningkatan kadar kemalangan di jalan raya.

  Kemalangan di jalan raya sering dilaporkan dalam media massa (Ayat 1/Pernyataan Soalan/tajuk).  Kadar kemalangan di jalan raya semakin serius dan bertambah terutamanya pada musim perayaan (Ayat 2/Isu).  Banyak pengguna jalan raya telah terkorban dalam kemalangan di jalan raya dan hal ini membimbangkan pengguna-pengguna jalan raya kerana malang tidak berbau. (Ayat 3/Keseriusan Isu).   Persoalannya, mengapakah kadar kemalangan di jalan raya bertambah pada setiap tahun walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk menanganinya? (Ayat 4/Persoalan).  Terdapat berbagai-bagai punca berlakunya, peningkatan kadar kemalangan di jalan raya (Ayat 5/Kehendak soalan).

PENGOLAHAN ISI KARANGAN:
 PERENGGAN ISI

Ayat 1 (A1) Isi utama/pernyataan isi ...APA

Ayat 2 (A2) Huraian tentang isi tersebut ...MENGAPA

Ayat 3 (A3) Huraian tentang isi tersebut... BAGAIMANA

Ayat 4 (A4) Contoh/bukti ...CONTOH

Ayat 5 (A5) Kesimpulan/Penegasan tentang isi tersebut ...KESIMPULAN ISI/ PENEGASAN

Salah satu faktor yang menyebabkan kemalangan di jalan raya semakin meningkat saban tahun kerana kecuaian pemandu (Ayat 1/isi utama  apa).  Kebanyakan pemandu  tidak  mengambil berat akan peraturan dan keselamatan mereka ketika memandu (Ayat 2/Huraian mengapa).  Kecuaian mereka sering kali mengakibatkan kemalangan dan membawa padah kepada diri sendiri, keluarga dan pengguna jalan raya yang lain (Ayat 3/Huraian – bagaimana).  Buktinya, pihak Polis Diraja Malaysia melaporkan bahawa punca utama berlakunya kemalangan sepanjang Ops Sikap pada musim perayaan yang lalu adalah disebabkan kecuaian pemandu (Ayat 4/Contoh/ bukti).  Kesimpulannya, punca utama peningkatan kadar kemalangan di jalan raya adalah disebabkan oleh kecuaian pemandu itu sendiri (Ayat 5/Kesimpulan /penegasan). 


PENGOLAHAN KESIMPULAN

Ayat 1 (A1) Kesimpulan tentang tajuk
Ayat 2 (A2) Penegasan tentang isu
Ayat 3 (A3) Saranan/Cadangan
Ayat 4 (A4) Harapan


Kesimpulannya, kemalangan di jalan raya berpunca daripada berbagai-bagai faktor (Ayat 1/Kesimpulan tentang tajuk). Faktor tersebut menjadikan jalan raya sebagai “kubur” kepada pengguna-pengguna jalan raya (Ayat 2/Penegasan tentang isu).    Oleh itu, semua pihak hendaklah sederap tenaga dan berganding bahu bagai aur dengan tebing, bekerjasama dan berusaha untuk menangani masalah ini (Ayat 3/Saranan atau Cadangan).  Melalui usaha pelbagai pihak, diharapkan negara ini akan melahirkan pemandu yang berhemah dan berjaya mencapai “sifar kemalangan di jalan raya” (Ayat 4/ Harapan).  

Isnin, 2 September 2019

TEKNIK MENGARANG URT

Program Peningkatan Prestasi Bahasa Melayu SPM Negeri Kedah 
Modul Budidaya BM SPM Negeri Kedah [2019]-dipetik untuk rujukan murid-murid calon SPM


Teknik mengarang URT  oleh Cikgu Zamri Salleh SMK Batu 5,Jalan Jeniang, Gurun, Kedah

Aktiviti menulis  karangan ialah proses menghasilkan teks atau wacana yang berfungsi sebagai wahana komunikasi antara penulis dan pembaca. Dalam hal ini, karangan yang dihasilkan sepatutnya mempunyai ciri keutuhan wacana yang mantap agar pembaca (pemeriksa) dapat memahami idea-idea yang terkandung dalam karangan itu.  Setiap ayat yang dibina haruslah berkait antara satu sama lain, baik dari segi makna mahupun dari segi idea. Contoh di bawah ini dapat menjelaskan maksud perenggan yang mempunyai ciri keutuhan wacana:

(1) Hazman pergi ke Pasar Raya Aneka semalam. (2) Dia ke sana untuk membeli alat tulis. (3) Alat tulis itu akan digunakannya semasa peperiksaan. (4) Peperiksaan akan bermula pada minggu depan.
  
Dalam keempat-empat ayat di atas, perulangan perkataan atau frasa, rujukan dan penambahan maklumat baharu dalam setiap ayat menjadikan perenggan itu mempunyai ciri keutuhan wacana yang mantap. Dalam ayat (1), Pasar Raya Aneka ditambah sebagai maklumat baharu. Dalam ayat (2), Dia ialah rujukan untuk Hazman dan sana ialah rujukan untuk Pasar Raya Aneka dalam ayat (1) dan ditambah alat tulis. Dalam ayat (3), Alat tulis itu diulang dan dirujuk dari ayat (2) dan -nya ialah rujukan untuk Hazman serta ditambah peperiksaan. Dalam ayat (4), perkataan Peperiksaan diulang  dari ayat (3) dan ditambah minggu depan. Proses Ulang, Rujuk dan Tambah ini menjadikan keempat-empat ayat dalam perenggan di atas saling berkaitan.

Proses Ulang, Rujuk dan Tambah ini memang wujud dalam perenggan karangan. Baca perenggan isi di bawah untuk melihat proses Ulang, Rujuk dan Tambah yang berlaku semasa menulis karangan: 
“Faedah Bersukan” – menyihatkan badan
                 
(Ayat Topik) Selain itu, faedah bersukan juga ialah aktiviti ini dapat menyihatkan badan. (Ayat Huraian1)Aktiviti ini dapat menyihatkan badan kerana badan kita akan   berpeluh semasa bersukan. (Ayat Huraian 2) Peluh ini mengeluarkan toksin daripada badan kita. (Ayat Huraian 3) Toksin mengandungi bahan berbahaya yang tidak diperlukan oleh badan seperti urea dan garam mineral. (Ayat Huraian 4) Bahan-bahan ini boleh mengundang   pelbagai penyakit sekiranya berada dalam kuantiti yang banyak di dalam badan. (Ayat Penegasan/Kesimpulan Kecil) Oleh itu, nyatalah bahawa aktiviti bersukan sangat berfaedah untuk menyihatkan badan kita kerana kesihatan tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. 
(79 patah perkataan)

KAEDAH ULANG, RUJUK DAN TAMBAH (URT)

Dalam Ayat Topik (AT), faedah bersukan ialah perulangan kata kunci soalan, aktiviti ini ialah rujukan untuk  bersukan dan menyihatkan badan ialah isi atau idea utama yang ditambah sebagai maklumat baharu. Dalam Ayat Huraian 1(AH1), Aktiviti ini dapat menyihatkan badan ialah rujukan dan perulangan untuk bersukan dan menyihatkan badan dalam AT dan ditambah berpeluh sebagai maklumat baharu. Dalam AH2, Peluh ini diulang dan dirujuk daripada AH1 dan ditambah toksin. Dalam AH3, Toksin  diulang daripada AH2 dan ditambah bahan berbahaya serta ditambah contoh, iaitu urea dan garam mineral. Dalam AH4, Bahan-bahan ini ialah rujukan untuk urea dan garam mineral. Dalam Ayat Penegasan/Kesimpulan Kecil (AP), bersukan, berfaedah dan menyihatkan badan ialah perulangan kata kunci soalan dan isi atau idea utama dari AT serta ditambah ungkapan menarik  kesihatan tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.

KAEDAH ULANG, RUJUK DAN TAMBAH DALAM KARANGAN

Karangan Berdasarkan Bahan Rangsan Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang cara-cara mengamalkan gaya hidup sihat. Panjangnya huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.    

Cara- cara Mengamalkan Gaya Hidup Sihat  
                 
Pada zaman sekarang, terdapat sesetengah orang yang sibuk dengan urusan di tempat kerja sehingga mengabaikan aspek penjagaan kesihatan.Sekiranya keadaan ini dibiarkan berlarutan, sudah pastilah akan membawa kepada pelbagai masalah kesihatan. Oleh itu, sebagai langkah untuk menghindarkan diri daripada penyakit, setiap orang harus mengamalkan gaya hidup sihat. Sebenarnya, sungguh banyak cara yang dapat dilakukan untuk mengamalkan gaya hidup sihat.  
- Sentiasa bersenam - Makan makanan berkhasiat - Mengawal  tekanan perasaan

Cara yang dapat dilakukan untuk mengamalkan gaya hidup sihat adalah dengan sentiasa bersenam. Amalan sentiasa bersenam ini dapat mengeluarkan peluh daripada tubuh badan kita. Peluh ini mengeluarkan bahan toksin daripada badan kita. Bahan toksin ini mengandungi bahan berbahaya yang tidak diperlukan oleh badan seperti urea dan garam mineral. Oleh itu, nyatalah bahawa amalan sentiasa bersenam merupakan salah satu amalan gaya hidup sihat yang dapat menjamin kesejahteraan kerana kesihatan tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.   Selain itu, cara mengamalkan gaya hidup sihat adalah dengan makan makanan yang berkhasiat. Tabiat makan makanan yang berkhasiat dapat memastikan tubuh badan kita sentiasa mendapat zat makanan yang cukup.Sebagai contohnya, untuk memastikan seseorang itu mendapat zat makanan yang cukup, kita perlulah mengambil lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran serta mengurangkan pengambilan makanan berlemak, makanan manis dan makanan bergaram. Dengan sentiasa berbuat demikian, sudah pastilah kita mendapat zat makanan yang seimbang seperti yang terdapat dalam piramid makanan. Dengan ini, ternyatalah bahawa amalan makan makanan berkhasiat ialah cara untuk mengamalkan gaya hidup sihat.   Di samping itu, cara untuk mengamalkan gaya hidup sihat ialah kita perlu mengawal tekanan perasaan. Sebagai contohnya, jika seseorang itu menghadapi tekanan perasaan seperti masalah pergaduhan dengan rakan, masalah putus cinta dan masalah di tempat kerja, orang itu perlulah cuba mengawal tekanan perasaan yang dialaminya. Cara mengawal tekanan perasaan adalah dengan mengambil angin di luar rumah, berjoging dan beriadah.Dengan melakukan aktiviti-aktiviti itu, sudah pastilah tekanan perasaan dapat dikurangkan.Tegasnya, kita perlulah mengawal tekanan perasaan sebagai cara mengamalkan gaya hidup sihat.   Konklusinya, sungguh banyak cara yang dapat dilakukan untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Oleh itu, kita haruslah mengamalkan gaya hidup sihat agar hidup kita sejahtera sepanjang masa. Apabila hidup kita sejahtera sepanjang masa,diharapkan kita akan dapat memberikan sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan negara ke arah mencapai Transformasi Nasional 2050 (TN50).   

Contoh Karangan Umum 

Keluarga memainkan peranan penting untuk memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat. Jelaskan peranan ibu bapa untuk memupuk semangat kejiranan kepada anak-anak mereka.  

Semangat kejiranan ialah sikap tolong-menolong, ramah mesra, toleransi dan mengamalkan persefahaman sesama jiran. Semangat kejiranan ini amat penting diamalkan oleh setiap anggota masyarakat di negara kita. Namun begitu, semangat kejiranan semakin kurang diamalkan dalam kalangan masyarakat pada masa sekarang kerana mereka lebih suka bersikap seperti enau di dalam belukar,melepaskan pucuk masing-masing. Kebanyakan anggota masyarakat pada masa sekarang lebih bersikap individualistik, iaitu mereka lebih mementingkan diri dan keluarga masing-masing daripada mengambil tahu hal di sekeliling mereka. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan penting untuk memupuk semangat kejiranan kepada anak-anak mereka.

Peranan yang dapat dimainkan oleh ibu bapa untuk memupuk semangat kejiranan kepada anak-anak mereka ialah ibu bapa harus menjadi model atau contoh kepada anak-anak. Sebagai contohnya, ibu bapa harus menjadi contoh kepada anak-anak dengan berbaik-baik dan sering bertegur sapa sesama jiran. Ibu bapa juga harus mengucapkan salam atau selamat kepada jiran ketika berjumpa dengan jiran di halaman rumah atau di mana-mana sahaja di luar rumah. Oleh itu, ibu bapa haruslah menjadi contoh atau model kepada anak-anak mereka sebagai usaha untuk memupuk semangat kejiranan kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.

  Selain itu, peranan ibu bapa untuk memupuk semangat kejiranan kepada anak-anak mereka  adalah dengan cara membawa anak-anak ke rumah jiran pada hari rumah terbuka atau pada hari perayaan. Dengan membawa anak-anak ke rumah jiran pada hari tersebut, anak-anak akan lebih mengenali jiran mereka. Semasa berada di rumah jiran, ibu bapa hendaklah mengajar sikap berbudi bahasa kepada anak-anak mereka, selaras dengan slogan Budi Bahasa Budaya Kita. Oleh itu, ibu bapa haruslah membawa anak-anak ke rumah jiran pada hari rumah terbuka atau pada hari perayaan sebagai usaha untuk memupuk semangat kejiranan kepada anak-anak mereka.
 
 Di samping itu, Ibu bapa juga hendaklah menggalakkan anak-anak bermain dengan jiran tetangga di taman permainan atau di padang sebagai usaha untuk memupuk semangat kejiranan kepada anak-anak mereka. Dengan bermain dengan jiran tetangga ini, anak-anak akan lebih mesra dan dapat mengenali jiran dengan lebih rapat. Hubungan yang rapat seperti isi dengan kuku ini sudah pasti dapat mewujudkan suasana yang harmoni di kawasan kejiranan itu. Dengan ini, ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak bermain dengan jiran tetangga untuk memupuk semangat kejiranan.

 Seterusnya, ibu bapa juga hendaklah mengadakan aktiviti gotong-royong di kampung atau di taman perumahan untuk memupuk semangat kejiranan kepada anak-anak mereka. Dengan mengadakan aktiviti gotong-royong ini, anak-anak akan dapat mengenali jiran tetangga dengan lebih rapat. Apabila anak-anak mengenali jiran tetangga dengan lebih rapat, sudah pastilah anak-anak akan lebih mesra dengan jiran mereka. Oleh itu, ibu bapa perlu mengadakan aktiviti gotong-royong untuk memupuk semangat kejiranan kepada anak-anak mereka kerana jiran muafakat membawa berkat.

Kesimpulannya, terdapat beberapa peranan yang dapat dimainkan oleh ibu bapa untuk memupuk semangat kejiranan kepada anak-anak mereka. Oleh itu, ibu bapa haruslah memupuk semangat kejiranan sejak anak-anak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan adanya semangat kejiranan dalam diri anak-anak, diharapkan generasi akan datang akan dapat hidup dalam keadaan harmoni dan sejahtera. 
(468 patah perkataan)
                          
Kata-kata Pujangga: 
"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu, jangan sampai aku sesat atau disesatkan (syaitan atau orang yang berwatak syaitan), berbuat kesalahan atau disalahi, menganiayai atau dianiaya (orang), dan berbuat bodoh atau diperbodohkan." 
(Kejayaan hanya akan diperoleh jika kita berusaha]