Program Peningkatan Prestasi Bahasa Melayu SPM Negeri Kedah
Modul Budidaya BM SPM Negeri Kedah-[dipetik untuk rujukan murid calon SPM]
OLEH: HJ HARUM BIN AWANG MUNSYI DEWAN, SMK SULTANAH ASMA
TEKNIK PENULISAN KARANGAN CEMERLANG
BINAAN KARANGAN
PENGOLAHAN PENDAHULUAN
Contoh soalan:Huraikan pendapat anda punca-punca kemalangan jalan raya
Tajuk: Kemalangan di jalan raya
Skop: Punca kemalangan di jalan raya
Teknik Penulisan Pendahuluan
Ayat 1 (A1) Pernyataan soalan/tajuk
Ayat 2 (A2) Isu
Ayat 3 (A3) Keseriusan isu
Ayat 4 (A4) Persoalan
Ayat 5 (A5) Kehendak soalan
Ayat 1 (A1)
Pernyataan soalan/ tajuk
Kemalangan di jalan raya sering dilaporkan dalam media massa.
Ayat 2 (A2)
Isu
Kadar kemalangan di jalan raya semakin serius dan bertambah terutamanya pada musim perayaan.
Ayat 3 (A3)
Keseriusan isu
Banyak pengguna jalan raya telah terkorban dalam kemalangan di jalan raya dan hal ini membimbangkan pengguna-pengguna jalan raya kerana malang tidak berbau.
Ayat 4 (A4)
Persoalan
Persoalannya, mengapakah kadar kemalangan di jalan raya bertambah pada setiap tahun walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk menanganinya?
Ayat 5 (A5)
Kehendak soalan
Terdapat berbagai-bagai punca berlakunya, peningkatan kadar kemalangan di jalan raya.
Kemalangan di jalan raya sering dilaporkan dalam media massa (Ayat 1/Pernyataan Soalan/tajuk). Kadar kemalangan di jalan raya semakin serius dan bertambah terutamanya pada musim perayaan (Ayat 2/Isu). Banyak pengguna jalan raya telah terkorban dalam kemalangan di jalan raya dan hal ini membimbangkan pengguna-pengguna jalan raya kerana malang tidak berbau. (Ayat 3/Keseriusan Isu). Persoalannya, mengapakah kadar kemalangan di jalan raya bertambah pada setiap tahun walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk menanganinya? (Ayat 4/Persoalan). Terdapat berbagai-bagai punca berlakunya, peningkatan kadar kemalangan di jalan raya (Ayat 5/Kehendak soalan).
PENGOLAHAN ISI KARANGAN:
PERENGGAN ISI
Ayat 1 (A1) Isi utama/pernyataan isi ...APA
Ayat 2 (A2) Huraian tentang isi tersebut ...MENGAPA
Ayat 3 (A3) Huraian tentang isi tersebut... BAGAIMANA
Ayat 4 (A4) Contoh/bukti ...CONTOH
Ayat 5 (A5) Kesimpulan/Penegasan tentang isi tersebut ...KESIMPULAN ISI/ PENEGASAN
Salah satu faktor yang menyebabkan kemalangan di jalan raya semakin meningkat saban tahun kerana kecuaian pemandu (Ayat 1/isi utama apa). Kebanyakan pemandu tidak mengambil berat akan peraturan dan keselamatan mereka ketika memandu (Ayat 2/Huraian mengapa). Kecuaian mereka sering kali mengakibatkan kemalangan dan membawa padah kepada diri sendiri, keluarga dan pengguna jalan raya yang lain (Ayat 3/Huraian – bagaimana). Buktinya, pihak Polis Diraja Malaysia melaporkan bahawa punca utama berlakunya kemalangan sepanjang Ops Sikap pada musim perayaan yang lalu adalah disebabkan kecuaian pemandu (Ayat 4/Contoh/ bukti). Kesimpulannya, punca utama peningkatan kadar kemalangan di jalan raya adalah disebabkan oleh kecuaian pemandu itu sendiri (Ayat 5/Kesimpulan /penegasan).
PENGOLAHAN KESIMPULAN
Ayat 1 (A1) Kesimpulan tentang tajuk
Ayat 2 (A2) Penegasan tentang isu
Ayat 3 (A3) Saranan/Cadangan
Ayat 4 (A4) Harapan
Kesimpulannya, kemalangan di jalan raya berpunca daripada berbagai-bagai faktor (Ayat 1/Kesimpulan tentang tajuk). Faktor tersebut menjadikan jalan raya sebagai “kubur” kepada pengguna-pengguna jalan raya (Ayat 2/Penegasan tentang isu). Oleh itu, semua pihak hendaklah sederap tenaga dan berganding bahu bagai aur dengan tebing, bekerjasama dan berusaha untuk menangani masalah ini (Ayat 3/Saranan atau Cadangan). Melalui usaha pelbagai pihak, diharapkan negara ini akan melahirkan pemandu yang berhemah dan berjaya mencapai “sifar kemalangan di jalan raya” (Ayat 4/ Harapan).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan