Selasa, 18 Ogos 2015

CONTOH KARANGAN



1)       Markah: 100  
2)       Bilangan Perkataan: Minimum 350
3)       Masa: 1 jam 30 minit
Fokus Karangan SPM
Bil
Tajuk
Fokus
1
Pendidikan
Pendidikan Maya / Sepanjang Hayat
2
Sukan
Kepentingan Dasar 1 Murid 1 Sukan
3
Pelaburan
Aktiviti Menabung / Skim Cepat Kaya
4
Pelancongan
Kebaikan / Usaha
5
Memulihara Bangunan Bersejarah
Kepentingan / Usaha
6
Gejala Rasuah
Punca / Kesan / Usaha
7
Permainan Tradisional
Kepentingan / Usaha
8
Telefon Bimbit
Kepentingan / Kesan
9
Bahasa
Melayu / Inggeris / Sejarah: Kepentingan / Usaha
10
Gejala Sosial
Kes Ragut / Pembuangan Bayi / Perlumbaan Haram Lumba Haram / Kafe Siber: Punca/Usaha
11
Barangan
Kenaikan Harga Barang / Barang Buatan Malaysia: Punca / Kesan / Usaha
12
Amalan Membaca
Kebaikan / Punca / Langkah
13
Pengalaman / Program
Yang Pernah Disertai
14
Kemalangan Jalan Raya
Punca / Langkah
15
Kokurikulum
Kebaikan / Punca / Langkah
16
Semangat Patriotik / Perpaduan
Punca / Langkah
17
Ulasan
Filem / Novel / Cerpen
18
Isu Lain
Senjata Nuklear


Fokus  1:
Amalan gotong-royong banyak manfaatnya. Bincangkan kenyataan ini.

Isi:
1.       Meningkatkan silaturahim dalam kalangan penduduk
2.       Mempercepat sesuatu kerja dan menijimatkan perbelanjaan
3.       Meningkatkan kebersihan dan kceriaan taman
4.       Meningkatkan perpaduan
 Amalan gotong-royong sering dipraktikkan oleh masyarakat tradisi untuk melakukan sesuatu pekerjaan atau aktiviti. Amalan ini semakin  diketepikan dalam era globalisasi ini, terutamanya dalam kalangan penduduk di bandar. Amalan ini yang memerlukan semua ahli dalam masyarakat bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk melakukan sesuatu kerja secara beramai-ramai. Semua pihak dalam kalangan masyarakat perlulah menghidupkan amalan ini kerana amalan ini banyak manfaatnya.
Satu daripada manfaat amalan bergotong-royong ialah amalan ini dapat meningkatkan silaturahim dalam kalangan masyarakat. Apabila mereka bergotong-royong mengadakan majlis kenduri-kendara, mereka dapat beramah dan berkenal mesra dengan penduduk di kawasan tempat tinggal. Selain dapat berkumpul untuk menyumbangkan tenaga, mereka dapat meningkatkan persahabatan dan perhubungan ibarat sambil menyelam minum air. Sebagai contohnya, semasa bergotong-royong, mereka dapat berbual tentang pelbagai perkara seperti hal ewal keluarga, pekerjaan, kegemaran dan sebagainya. Melalui cara ini, hubungan antara ahli dalam masyarakat dapat ditingkatkan dan kemesraan dapat dieratkan kerana tak kenal maka tak cinta.
Selain itu, amalan gotong-royong dapat mempercepat sesuatu pekerjaan dan menjimatkan perbelanjaan.  Jika sesebuah keluarga ingin mengadakan majlis perkahwinan, semua penduduk akan memberikan bantuan dari segi tenaga dan juga sumbangan kebendaan atau kewangan.  Sebagai contohnya, mereka akan bergotong-royong untuk mendirikan atau memasang khemah dan juga menyediakan hidangan seperti masak-memasak secara bergotong-royong. Melalui cara ini, pihak tuan rumah tidak akan terbeban untuk mengupah syarikat penyediaan makanan dan penyajian untuk mengendalikan urusan tersebut kerana berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Jika amalan ini diteruskan, urusan untuk menjayakan sesuatu majlis itu bukan sahaja berjalan dengan lancar, malah kita dapat membantu sesebuah keluarga untuk mengendalikan sesuatu majlis tanpa perbelanjaan yang besar terutama dalam dunia yang sedang menghadapi krisis ekonomi.
Seterusnya, amalan gotong-royong dapat meningkatkan kebersihan dan keceriaan kawasan tempat tinggal. Jika semua penduduk ada hati dan bersatu tenaga untuk mengadakan aktiviti gotong-royong bagi membersihkan kawasan tempat tinggal daripada segala kotoran atau tempat pembiakan nyamuk aedes. Pepatah Melayu menyatakan,”Mencegah lebih baik daripada mengubatinya”. Sebagai contohnya, semua penduduk hendaklah berbincang atau bermuafakat untuk menetapkan satu hari dalam masa sebulan untuk membersihkan  kawasan taman. Oleh sebab muafakat membawa berkat, selain kawasan tempat tinggal kita ceria dan indah, kita akan dapat mengelakkan diri daripada pelbagai penyakit.
Bukan itu sahaja, amalan gotong-royong dapat meningkatkan perpaduan dalam kalangan penduduk. Jika amalan ini dibudayakan di kawasan tempat tinggal yang penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum, terutamanya di bandar, semangat perpaduan dalam kalangan penduduk sesuatu tempat dapat ditingkatkan. Sebagai contohnya, semua penduduk tanpa mengira agama dan kaum berganding bahu untuk membersihkan kawasan taman atau saling bekerjasama untuk menjayakan sesuatu majlis.  Hubungan yang baik antara kaum  dapat diwujudkan  apabila mereka berinteraksi dan bekerjasama untuk menyiapkan sesuatu pekerjaan. Tegasnya, jika semua rakyat bermuafakat untuk melaksanakan sesuatu tugas dan aktiviti, perpaduan akan dapat ditingkatkan  kerana bersatu teguh bercerai roboh.
Kesimpulannya, amalan gotong-royong perlu dihidupkan dalam masyarakat terutamanya masyarakat bandar. Amalan  yang baik ini ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni perlu menjadi budaya dalam masyarakat.  Apabila hubungan yang baik wujud, rakyat akan prihatin dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan ahli yang lain ibarat cubit paha kanan paha kiri terasa juga. Oleh itu, semua pihak sama ada pihak kerajaan, pihak swasta dan juga pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) hendaklah berusaha untuk menghidupkan amalan ini.



Fokus 2:
Semangat patriotik dalam kalangan remaja negara kita semakin luntur. Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan remaja.

Isi:
1.       Meneruskan program bulan penghayatan patriotisme
2.       Pihak media terutamanya media elektronik seharusnya menyiarkan program yang mempunyai unsur patriotisme
3.       Usaha pihak kerajaan mengadakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mesti disokong oleh semua pihak,
4.       Menanamkan semangat patriotik atau semangat cinta akan negara dalam diri mereka ini sejak bangku sekolah

               Semangat patriotik bermaksud suatu perasaan atau jiwa di dalam diri seseorang yang sayang dan cinta akan bangsa, agama, dan tanah air.  Pada zaman dan era baharu ini, semangat patriotik haruslah terpateri dan ditanam serta disemai dalam diri dan dalam jiwa setiap individu bagi membentuk sahsiah diri yang cemerlang dan seterusnya dapat membentuk sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Jika kita lihat seseorang yang begitu sayang dan cinta akan bangsa, agama, dan tanah air, semestinya sifat dan sikap ingin berkorban untuk berjuang mempertahankannya akan lahir. Namun, kebanyakan masyarakat kita pada hari ini,  terutamanya remaja  lupa akan tanggungjawab kepada negara.  Semangat patriotik dalam diri mereka kian pudar. Mereka lupa akan perjuangan pejuang dan perwira negara berusaha tanpa mengenal jemu bagi mempertahankan maruah bangsa, agama, dan tanah air.  Oleh hal yang demikian, pelbagai usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan remaja bagi mengekalkan maruah dan kedaulatan negara.
               Satu daripada usaha yang perlu dilakukan ialah meneruskan program bulan penghayatan patriotisme sama ada pada peringkat sekolah, negeri, mahupun peringkat kebangsaan. Program ini hendaklah diadakan pada setiap tahun. Program ini diadakan selama sebulan untuk memberikan peluang kepada remaja bagi menghayati erti patriotisme, erti kemerdekaan, dan mengenang jasa para perwira yang telah mempertahankan agama, bangsa, dan tanah air. Sebagai contohnya, bulan Ogos hendaklah diisytiharkan sebagai Bulan Penghayatan Patriotisme yang perlu disambut pada setiap tahun.  Dalam bulan ini, pelbagai program hendaklah diadakan untuk membangkitkan dan menanamkan semangat patriotik dalam kalangan remaja. Dengan wujudnya program sebegini pada setiap peringkat sekolah, negeri, dan kebangsaan, secara tidak langsung semangat patriotik dalam diri remaja akan lahir sedikit demi sedikit bak kata pepatah,”sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi bukit.”  Sebagai negara yang terdiri daripada berbilang kaum, kita seharusnya menyokong program seperti ini supaya hasrat kerajaan untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan rakyat tercapai.
               Selain itu, pihak media terutamanya media elektronik seharusnya menyiarkan program yang mempunyai unsur patriotisme. Dalam hal ini, pihak media massa hendaklah memainkan peranan yang agresif untuk membentuk sahsiah serta perilaku remaja bagi menyemaikan semangat patriotik dalam diri mereka. Melalui cara ini, remaja akan memperoleh pengetahuan tentang sejarah negara dan secara tidak langsung semangat patriotik akan tersemai ke dalam jiwa mereka. Oleh itu, pihak stesen televisyen perlulah bersikap inovatif dan berdaya saing bagi menyiarkan program yang berunsurkan patriotisme. Sebagai contohnya, stesen televisyen hendaklah menayangkan filem seperti filem Sarjan Hasan, Leftenan Adnan, Bukit Kepong, Paloh, dan sebagainya untuk tatapan generasi muda. Usaha ini bukan sahaja akan dapat memupuk semangat patriotik dalam diri remaja, malah mereka juga dapat mengetahui perjuangan tokoh yang terdahulu dan sejarah tanah air yang tercinta.
               Selain itu,  untuk membangkitkan semangat patriotik dalam kalangan remaja, usaha pihak kerajaan mengadakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mesti disokong oleh semua pihak, terutamanya ibu bapa. Dalam program ini, terdapat beberapa modul yang disediakan untuk membentuk remaja supaya mempunyai jati diri dan memupuk semangat patriotik. Sebagai contohnya, modul-modul yang disediakan dalam program ini terdiri daripada Modul Kenegaraan, Modul Pembinaan Karekter, Modul Khidmat Komuniti, dan Modul Fizikal. Fikiran dan andaian yang buruk daripada orang ramai terhadap program ini sepatutnya dihapuskan.  Hal ini disebabkan program ini bukan bertujuan melatih remaja ala tentera seperti yang dilakukan di kebanyakan negara, tetapi objektifnya ialah ingin melahirkan remaja yang berketerampilan, serba boleh, berdisiplin, dan mempunyau semangat patriotik atau semangat cinta akan negara. Oleh itu, semua pihak haruslah menyokong usaha murni kerajaan ini yang ingin melahirkan remaja yang berjiwa kental dan mempunyai jati diri.
               Seterusnya,  pihak sekolah pula seharusnya memainkan peranan untuk membentuk pelajar yang bergelar remaja ini dengan menanamkan semangat patriotik atau semangat cinta akan negara dalam diri mereka ini sejak bangku sekolah. Pepatah Melayu mengatakan bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, mereka hendaklah dilatih atau dibimbing sejak awal supaya mereka memiliki semangat yang kental untuk menghadapi cabaran yang mendatang. Oleh itu,  pihak sekolah hendaklah mengadakan pelbagai program seperti pertandingan, persembahan, pameran, ceramah, dan sebagainya yang bertemakan patriotisme. Sebagai contohnya, pertandingan nyanyian, deklamasi sajak, melukis poster, dan menulis esei yang bertemakan patriotik hendaklah dijalankan semasa sambutan Bulan Penghayatan Patriotisme pada setiap bulan Ogos.  Dengan usaha seperti ini, secara tidak langsung pelajar atau remaja ini akan menghayati erti kemerdekaan dan mempunyai semangat patriotik selain dapat membentuk sahsiah yang murni dalam diri dan jiwa mereka.  Untuk merealisasikan hasrat murni ini, guru-guru digalakkan untuk membimbing para pelajar bagi menjayakan program yang bernilai dan bermakna ini.
               Kesimpulannya, remaja merupakan bakal pewaris pucuk kepemimpinan negara pada masa depan.  Oleh hal yang demikian, wajarlah ibu bapa, guru, masyarakat, dan sekolah melaksanakan pelbagai program yang dapat menyemarakkan semangat patriotik dalam diri remaja yang bakal ditabalkan menjadi peneraju atau pemimpin negara pada suatu hari nanti.  Kita janganlah mengabaikan remaja kerana remaja merupakan tonggak harapan bangsa, agama, dan tanah air yang tercinta ini. Kita juga janganlah membiarkan remaja hidup terumbang ambing tanpa hala tuju dan wawasan. Oleh itu, semua pihak haruslah mengambil inisiatif dengan menerapkan nilai patriotisme dengan harapan  negara terus cemerlang, gemilang, dan terbilang.




Fokus 3:
Amalan rasuah di negara kita semakin leluasa. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah ini.

Isi:
1.       Diri sendiri: Memiliki kekuatan diri untuk menolak perbuatan memberi dan menerima rasuah.
2.       Masyarakat: Melaporkan kegiatan rasuah yang berlaku
3.       Majikan: Memantau dan mengawasi pekerjanya dari masa ke masa
4.       Kerajaan: Bertindak tegas terhadap sesiapa yang terlibat dengan gejala rasuah

             Akhir-akhir ini, berita tentang rasuah sering menjadi tajuk sensasi media perdana dan berita utama media cetak di negara kita. Jika kita meneliti laporan ini, banyak individu dan juga tokoh dihadapkan ke mahkamah disebabkan kesalahan rasuah.  Jenayah rasuah ini dapat dikatakan sebagai kanser masyarakat yang sukar atau tidak mungkin diubati kerana kes kesalahan rasuah dalam kalangan rakyat Malaysia paling banyak menerima rasuah dalam kategori negara membangun.  Disebabkan hal tersebut, banyak pihak yang sering menuding jari tentang siapakah yang patut dipersalahkan dalam kes rasuah ini.  Walau bagaimanapun, perkara yang lebih wajar dilaksanakan ialah semua pihak perlu memikirkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah ini.
            Salah satu langkah yang perlu diambil untuk membanteras kes rasuah ialah setiap individu harus mempunyai kekuatan diri untuk menghapuskan rasuah ini. Dalam erti kata yang lain, setiap individu harus mengelakkan diri daripada memberikan rasuah atau menerima rasuah dalam apa-apa jua keadaan. Untuk membentuk kekuatan diri, kita haruslah mempunyai pegangan agama da moral yang kuat.  Hal ini dikatakan demikian kerana agama da moral merupakan  benteng kehidupan yang menghalang kita daripada terjebak dalam kegiatan yang negatif dan juga membolehkan kita mengetahui kesan kesalahan yang telah dilakukan. Sebagai contohnya, seseorang yang berpegang kuat pada ajaran agama dan didikan moral tidak akan memberi atau menerima rasuah walaupun didesak kerana dia mengetahui bahawa perbuatan itu menyalahi peraturan agama dan tidak bermoral. Tegasnya, setiap indivisu harus mempunyai kekuatan untuk mengelakkan diri daripada terjebak dalam kegiatan rasuah.
            Selain itu, sebagai masyarakat, kita juga boleh melakukan sesuatu untuk membanteras jenayah rasuah, iaitu dengan cara melaporkan sebarang kes rasuah yang berlaku di sekeliling kita kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Negara (SPRM).  Kita tidak harus berasa takut untuk melaporkan atau membuat aduan tentang jenayah rasuah ini kepada pihak berkuasa. Hal ini dikatakan demikian kerana sebarang aduan yang dibuat akan diberi perhatian oleh pihak SPRM dan mereka yang membuat aduan akan dirahsiakan.  Mereka akan menyiasat kes tersebut dan seterusnya membawa kes tersebut ke mahkamah jika mempunyai bukti yang kukuh. Sekiranya semua golongan masyarakat berasa takut untuk membuat aduan tentang jenayah rasuah ini, kemungkinan besar kes rasuah in akan semakin bertambah dan seterusnya memudaratkan lebih banyak pihak. Oleh itu, masyarakat harus bersikap lebih berani dan bertanggungjawab untuk melaporkan kes rasuah kepada pihak berkuasa apabila kes rasuah itu benar-benar berlaku.
             Bukan itu sahaja, sebagai majikan, seseorang itu haruslah membuat kawalan yang lebih ketat terhadap pekerjanya agar mereka tidak terlibat dalam jenayah rasuah ini. Dalam hal ini, majikan merupakan pihak atasan kepada pekerja-pekerjanya.  Beliau mestilah sentiasa mengambil berat tentang aktiviti pekerja-pekerjanya. Jika pemantauan sering dilakukan dari masa ke masa, beliau dapat mengurangkan peluang bagi pekerja-pekerjanya terlibat dalam gejala rasuah. Sebagai contohnya, setiap majikan mestilah memastikan pekerjanya membuat sesuatu pekerjaan dengan cekap dan mengikut tempoh yang telah ditetapkan. Jika terdapat mana-mana pekerja yang sengaja melewat-lewatkankan sesuatu pembayaran atau pengeluaran cek, tindakan yang segera perlulah diambil. Tindakan yang dilakukan seperti ada udang di sebalik batu ini perlulah dibanteras dengan segera. Melalui cara ini, majikan dapat mengelakkan pekerjanya daripada terjebak dengan amalan yang kurang sihat ini.
Di samping itu, pihak kerajaan hendaklah bertindak tegas kepada sesiapa sahaja yang terlibat dengan gejala rasuah.  Tindakan yang tegas ini sudah tentu menakutkan pengamalnya kerana pepatah Melayu mengatakan,”Sekali kena, dua kali jalan tahu”. Dalam hal ini, pihak kerajaan janganlah bersikap pilih kasih atau pilih bulu ketika mengambil tindakan tersebut. Pihak yang dipertanggungjawabkan, iaitu pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Negara (SPRM) perlulah bertindak dengan tegas kepada mana-mana pihak yang terbukti terlibat dalam amalan rasuah seperti ahli poltik, pegawai atasan, dan sebagainya. Sebagai contohnya, jika terbukti bahawa amalan rasuah berlaku, pihak SPRN hendaklah mengambil tindakan yang tegas tanpa mengira kedudukan seseorang itu.  Pihak yang terlibat mestilah dihadapkan ke mahkamah dan seterusnya dijatuhi hukuman yang setimpal jika disabitkan kesalahan. Melalui tindakan yang tegas ini, mereka yang ada hati untuk terlibat dalam gejala rasuah akan berfikir seribu kali sama ada untuk melakukannya atau tidak.
Kesimpulannya, semua pihak ada tanggungjawab dalam menangani masalah rasuah. Jika penyakit masyarakat ini tidak ditangani, gejala ini akan memberikan kesan yang buruk kepada rakyat dan negara yang kita cintai ini. Amalan rasuah yang berleluasa akan menjejaskan imej negara, masyarakat dan agama. Jika amalan rasuah terus berleluasa dalam masyarakat, para pelabur tidak berminat untuk melabur atau menjalankan kegiatan ekonomi di negara kita. Implikasinya ialah pembangunan di negara kita akan terjejas sekali gus menjejaskan pendapatan negara. Sesusunggunya, gejala rasuah merupakan penyakit masyarakat yang mampu menggugat kestabilan dan kemakmuran negara. Oleh sebab amalan rasuah mampu meruntuhkan kerajaan yang menerajui sesebuah negara, kita perlu menangani gejala ini untuk memastikan harapan negara kita untuk mencacapai wawasan 2020 tercapai. Oleh sebab gejala rasuah merupakan duri dalam daging, sebagai rakyat yang sayang akan negara, kita mestilah memastikan negara kita bebas daripada rasuah. Ingatlah cogan kata keramat ini, ”:Negara Kita Tanggungjawab Kita.” Jadi, marilah kita bersama-sama menghapuskan gejala rasuah di negara kita.



Fokus 4:
Tema 8 (Buku Teks BM Tg. 5): Pelaburan
Kerajaan telah mengadakan Kempen Menabung di media massa. Huraikan kebaikan menabung  dan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk menggalakkan rakyat menyertai aktiviti ini.
               

Isi:
Kebaikan:
1.       Dapat menggunakan wang simpanan apabila kita menghadapi masalah kewangan
2.       Dapat membantu menstabilkan ekonomi negara dan membantu negara untuk mengatasi masalah kegawatan ekonomi
Usaha:
3.       Amalan menabung ini seboleh-bolehnya disemai dalam jiwa kanak-kanak sejak kecil lagi
4.       Pelbagai skim simpanan hendaklah diperkenalkan

Menabung didefinisikan sebagai menyimpan wang sedikit demi sedikit dari semasa ke semasa sehingga menjadi kuantiti yang banyak untuk digunakan pada masa akan datang. Konsep menabung amat sesuai dengan pepatah Melayu, iaitu sedikit demi sedikit lama-lama menjadi bukit. Sejajar dengan itu, slogan ‘Menabung Menjamin Masa Depan’ diperkenalkan dan papan-papan tanda yang berkaitan dapat dilihat di mana-mana sahaja. Sebenarnya, amalan menabung telah lama wujud dalam kalangan masyarakat, khususnya masyarakat desa. Amalan ini dikatakan telah berakar umbi dalam sanubari mereka. Namun, amalan menabung dalam kalangan masyarakat kota boleh dikatakan telah lama berkubur dan amat perlu disuburkan semula. Terdapat banyak kebaikan yang akan diperoleh jika kita menabung, khususnya kepada rakyat dan juga negara.
                Satu daripada kebaikan menabung ialah kita akan dapat menggunakan wang simpanan apabila kita menghadapi masalah kewangan. Hal ini dikatakan demikian kerana wang simpanan tersebut akan dapat digunakan pada bila-bila masa sahaja khususnya semasa kecemasan atau ketika kita kesempitan wang. Sebagai contohnya, seseorang itu tidak perlu bersusah payah atau mencari ikhtiar untuk meminjam wang daripada sanak-saudara atau rakan-rakan bahkan institusi-institusi kewangan apabila menghadapi masalah kewangan. Keadaan yang sebaliknya akan berlaku kepada individu yang sentiasa berbelanja secara boros dan tidak pernah terfikir untuk berjimat-cermat dan menabung demi masa depannya. Sebagai akibatnya, mereka akan dibebani hutang. Oleh hal yang demikian, amalan menabung amat berguna pada masa depan dan dan mengelakkan seseorang itu daripada jerat hutang.
                Selain itu, rakyat  yang menabung dapat membantu menstabilkan ekonomi negara dan membantu negara untuk mengatasi masalah kegawatan ekonomi. Apabila rakyat mula  menabung, rakyat akan berbelanja dengan penuh terancang dan tidak boros. Melalui amalan ini, nilai material dan kebendaan yang kian meresap ke dalam jiwa masyarakat juga dapat dikawal. Mereka akan menyedari bahawa barang-barang import yang mahal harganya tidak akan mendapat sambutan daripada kalangan masyarakat yang berjimat-cermat. Dalam situasi ini, rakyat akan berkecenderungan untuk memilih barangan buatan tempatan yang mutu dan kualitinya turut diiktiraf serta dijual dengan harga yang murah. Dengan ini, sektor perindustrian di negara kita akan dapat dimajukan dan ekonomi negara turut menjadi semakin stabil. Tegasnya,  tindakan rakyat Malaysia yang menyokong  barangan buatan tempatan telah berjaya mengurangkan kadar pengaliran mata wang  negara kita ke luar negara.
                Sebenarnya, terdapat beberapa usaha yang boleh dilakukan untuk menggalakkan rakyat menabung. Hal ini menagih komitmen dan perhatian daripada segenap lapisan masyarakat agar amalan mulia ini dapat disuburkan dan menjadi darah daging dalam sanubari masyarakat . Oleh itu, amalan menabung ini seboleh-bolehnya disemai dalam jiwa kanak-kanak sejak kecil lagi bak kata pepatah Melayu, ”melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Dalam konteks ini, ibu bapa memainkan peranan yang penting kerana ibu bapa merupakan pembentuk sikap kanak-kanak. Sehubungan dengan itu, ibu bapa seharusnya menjadi paradigma dan teladan kepada anak-anak mereka. Ibu bapa perlu berbelanja dengan berjimat-cermat dan tidak boros agar tindakan mereka dicontohi dan diikuti oleh anak-anak mereka dalam kehidupan seharian. Umpamanya, ibu bapa tidak harus memberikan wang saku yang  terlalu banyak kepada anak-anak sehingga menyebabkan anak-anak berbelanja tanpa batasan. Alat-alat tulis dan buku-buku latihan perlu disediakan dengan secukupnya untuk anak-anak agar mereka tidak perlu lagi meminta wang yang berlebihan untuk membelinya. Jadi, sikap berjimat cermat ini memang perlu disemai sejak kanak-kanak lagi.
                Seterusnya, usaha dan galakan amalan menabung dalam kalangan masyarakat juga dipikul oleh pihak swasta. Institusi-institusi kewangan seperti bank-bank tempatan perlu berganding bahu memberikan kerjasama dengan pihak kerajaan untuk ‘menghidupkan’ dan ‘menyuburkan’ amalan menabung dalam kalangan masyarakat. Pelbagai skim simpanan hendaklah diperkenalkan untuk menarik dan menggalakkan masyarakat menabung.  Pihak institusi kewangan perlu menyediakan skim pinjaman yang menawarkan kadar dividen yang tinggi dan pelbagai hadiah yang menarik untuk  `menghidupkan’ amalan menabung dalam kalangan kanak-kanak. Tegasnya, pelbagai kempen yang berterusan perlu dijalankan oleh semua institusi kewangan untuk menyeru rakyat Malaysia mengamalkan aktiviti menabung kerana menabung mendatangkan pelbagai manfaat dan menjamin masa depan seseorang.

                Natijahnya, amalan menabung yang telah lama dipinggirkan  oleh rakyat Malaysia  wajar disuburkan dan disemarakkan. Amalan menabung bukan sahaja memanfaatkan individu, keluarga, komuniti malah kepada negara.  Jika semua rakyat menabung, institusi kewangan akan kukuh, aktiviti perniagaan semakin rancak, wang yang mengalir ke luar negara semakin berkurang, dan akhirnya peluang pekerjaan semakin terbuka. Oleh itu, semua lapisan rakyat digesa supaya menyahut seruan kerajaan untuk menabung bagi mengukuhkan ekonomi negara. Jadi, maksud kata-kata hikmat “Menabung Cerah Masa Depan” perlu dijadikan pedoman oleh segenap lapisan rakyat.


Fokus 5:
Kerajaan berhasrat untuk menjadikan institusi keluarga sebagai pencetus pembentukan keluarga bahagia. Pada pendapat anda, apakah peranan pelbagai pihak untuk merealisasikan harapan tersebut.

Isi:
1.       Pihak kerajaan perlulah menyediakan Anugerah Keluarga Bahagia
2.       Pihak swasta pula mestilah mengadakan pelbagai program seperti pakej melancong bersama keluarga tersayang
3.       Pihak Masyarakat pula hendaklah menganjurkan pelbagai aktiviti di taman
4.       Pihak ibu bapa pula hendaklah menganjurkan pelbagai sambutan dalam keluarga

                Setiap institusi keluarga merupakan pencetus kepada pembentukan keluarga bahagia. Demikianlah pendapat yang dinyatakan oleh Datuk Ng Yen Yen, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semasa merasmikan Kempen “Keluarga Bahagia Negara Sejahtera” di Kuala Lumpur baru-baru ini. Beliau menegaskan bahawa keluarga bahagia merupakan aset kepada pembentukan sebuah masyarakat yang sejahtera.  Institusi keluarga terdiri daripada ibu, bapa dan adik beradik yang sentiasa berinteraksi dengan mesra. Namun dalam zaman moden ini, kebanyakan ibu bapa sibuk dengan pekerjaan atau urusan seharian hingga mengabaikan keluarga.  Keadaan ini menyebabkan wujudnya kerenggangan hubungan antara ahli keluarga dan mungkin menyebabkan keluarga menjadi porak-peranda. Hal ini seterusnya mengundang pelbagai masalah social. Oleh itu, pelbagai pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk merealisasikan harapan kerajaan untuk menjadikan institusi keluarga sebagai pencetus pembentukan keluarga bahagia.
Satu daripada usaha yang perlu dilakukan untuk melahirkan keluarga yang bahagia ialah pihak kerajaan perlulah menyediakan Anugerah Keluarga Bahagia. Anugerah ini hendaklah diberikan khas kepada keluarga yang mempunyai hubungan erat dan mesra antara satu sama lain. Anugerah ini diadakan untuk memberikan penghargaan kepada sesebuah keluarga dan keluarga tersebut dapat dijadikan contoh kepada keluarga yang lain. Anugerah ini juga mampu  menggalakkan keluarga lain supaya mengekalkan keharmonian dalam kalangan ahli keluarga.  Sebagai contohnya, Anugerah Keluarga Bahagia ini hendaklah diadakan pada peringkat kawasan, daerah, negeri dan juga peringkat kebangsaan. Melalui anugerah seperti ini, sifat-sifat terpuji seperti hormat-menghormati, jujur, ikhlas dan sebagainya dapat diwujudkan dalam sesebuah keluarga yang harmoni. Tegasnya, anugerah yang diwujudkan ini mampu untuk melahirkan keluarga bahagia yang perlu dicontohi oleh masyarakat sebagai langkah ke arah untuk merealisasikan slogan `Keluarga Bahagia Negara Sejahtera.’
Seterusnya, pihak swasta pula mestilah mengadakan pelbagai program seperti pakej pelancongan bersama keluarga tersayang. Menurut Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri Pelancongan, aktiviti melancong bersama-sama ahli keluarga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.  Kata beliau lagi, melalui aktiviti seperti ini setiap ahli keluarga mempunyai peluang untuk menghabiskan masa bersama-sama. Hal ini sudah tentu akan mencambahkan bibit-bibit kasih sayang antara ahli keluarga.  Sesebuah keluarga juga mampu membayar pakej pelancongan yang ditawarkan kerana harganya yang tidak begitu mahal. Sebagai contohnya, banyak tempat menarik yang terdapat di negara kita yang boleh dijadikan destinasi pilihan oleh ahli keluarga untuk melancong seperti Pantai Cenang di Langkawi atau  Pulau Tioman, di Pahang. bagi menghayati pemandangan pantai yang menarik sambil bermain dan bermesra dengan ahli keluarga. Jadi, program yang menggalakkan ahli keluarga berkumpul dan bermesra perlu diperbanyak oleh pihak swasta supaya dapat memberikan peluang kepada mereka untuk membentuk keluarga yang bahagia.
 Selain itu, anggota masyarakat penduduk sesuatu kawasan tempat tinggal pula hendaklah menganjurkan pelbagai aktiviti di kawasan tempat tinggal mereka. Pelbagai aktiviti yang melibatkan semua ahli keluarga seperti aktiviti gotong-royong,  Hari Keluarga dan sebagainya boleh dijalankan. Aktiviti seperti ini amat sesuai dijalankan pada hari minggu supaya ibu bapa yang sibuk bekerja pada hari biasa dapat meluangkan masa bersama dengan anak-anak.  Aktiviti seperti ini sudah tentu dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli keluarga dan juga antara jiran tetangga. Sebagai contohnya, aktiviti Hari Keluarga yang menyediakan berbagai-bagai jenis permainan atau aktiviti akan memberikan peluang kepada ahli keluarga berinteraksi atau menjalinkan kerjasama dan hubungan mesra untuk mencapai kemenangan dalam sesuatu pertandingan. Dalam hal ini, mereka sudah tentu dapat menjalinkan hubungan yang baik kerana `muafakat membawa berkat’.  Melalui cara ini, kita bukan sahaja dapat mewujudkan keluarga bahagia, malah akan melahirkan masyarakat yang harmoni atau aman dan sentosa seperti yang tertera dalam cogan kata, “Keluarga bahagia, masyarakat sentosa”.
Di samping itu, pihak ibu bapa pula hendaklah menganjurkan pelbagai sambutan dalam keluarga. Melalui pelbagai sambutan yang diadakan dalam keluarga, ibu bapa akan dapat mengumpulkan semua ahli keluarga dalam sesuatu masa. Apabila semua ahli keluarga berkumpul, hubungan antara ahli keluarga dapat dipererat kerana ahli keluarga atau saudara mara dari jauh akan datang meraikan bersama-sama.  Majlis sambutan ini tidak semestinya diadakan di rumah, sebaliknya boleh diadakan di pusat-pusat peranginan atau di pantai-pantai yang terkenal di negara kita.  Sebagai contohnya, ibu bapa yang menganjurkan sambutan Hari Ulang Tahun Perkahwinan mereka akan merapatkan hubungan yang mesra antara ahli keluarga dan sanak saudara.  Dengan cara ini, sesebuah keluarga dapat mewujudkan suasana yang harmoni di samping dapat mengelakkan persengketaan dalam keluarga.  Oleh sebab itu, sesebuah keluarga perlu mengadakan pelbagai sambutan dalam keluarga kerana yang jauh dapat didekatkan dan yang dekat dapat dirapatkan.
Kesimpulannya, pelbagai pihak memainkan peranan penting untuk mewujudkan keluarga bahagia. Semua pihak haruslah bekerjasama dan berusaha untuk merealisasikan harapan untuk menjadikan institusi keluarga sebagai pencetus pembentukan keluarga bahagia.  Sikap ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni merupakan elemen penting dalam sesebuah keluarga untuk mewujudkan keluarga yang bahagia. Setiap langkah yang diambil oleh ahli dalam keluarga tersebut merupakan  mangkin ke arah untuk merealisasikan harapan tersebut.  Jika tiada usaha daripada semua ahli yang bersikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing, perpecahan dalam keluarga mungkin akan berlaku dan mengakibatkan banyak masalah sosial akan wujud dalam masyarakat kita. Oleh itu, usaha-usaha daripada pelbagai pihak amat penting untuk melahirkan keluarga yang bahagia kerana kebahagiaan merupakan impian setiap orang. 





Fokus 6:
 Bekerja di negara sendiri lebih baik daripada bekerja di negara asing”.
Bincangkan kenyataan ini.

Isi:
1.       Meningkatkan ekonomi dan produktiviti negara
2.       Menunjukkan semangat cinta dan syukur kepada negara
3.       Tidak perlu bersusah menyesuaikan diri dengan suasana dan keadaan tempat
4.       Mudah mendapat pinjaman dan bantuan

Kebanyakan rakyat Malaysia lebih suka bekerja di negara asing berbanding di negara sendiri. Hal ini demikian kerana mereka beranggapan  pendapatan dari  negara luar lebih lumayan dan peluang pekerjaan di sana lebih meluas berbanding di negara kita.  Walau bagaimanapun, tidak dinafikan segelintir daripada mereka bekerja di sana untuk menimba ilmu dengan lebih meluas. Namun, bukankah lebih baik jikalau kemahiran kita disumbangkan ke negara sendiri?  Sebenarnya, lebih banyak manfaatnya jika bekerja di negara sendiri berbanding bekerja di negara asing.
Salah satu kelebihan bekerja di negara sendiri berbanding di negara asing ialah kita dapat meningkatkan ekonomi dan produktiviti negara.  Hal ini dikatakan demikian kerana perbelanjaan hasil pendapatan yang kita peroleh digunakan di dalam  negara. Sebagai contohnya, wang yang kita gunakan untuk makanan, penginapan, dan pengangkutan dibelanjakan di negara sendiri dan secara tidak langsung mendatangkan faedah kepada masyarakat tempatan sekali gus membantu menjana ekonomi Malaysia.  Di samping itu, pendapatan yang diperoleh di dalam negara akan dikenakan cukai oleh kerajaan dan hasil daripada cukai tersebut digunakan untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan negara bagi faedah rakyat Malaysia.  Lebih banyak projek dilaksanakan bermakna lebih banyak kontraktor dan mereka yang terlibat secara langsung dengan projek tersebut akan mendapat manfaat daripadanya.  Jadi, bekerja di negara sendiri dapat meningkatkan ekonomi serta produktiviti negara.
Bekerja di negara sendiri menunjukkan bahawa kita mempunyai semangat patriotik yang tinggi terhadap tanah air.  Ilmu dan kemahiran yang kita miliki disumbangkan kepada anak bangsa kita sendiri. Bakti yang kita curahkan di negara sendiri secara langsung memberikan manfaat kepada kesejahteraan hidup masyarakat Malaysia.  Hal ini juga sebagai tanda terima kasih dan syukur kita kepada negara dan kerajaan yang memberi kita peluang untuk belajar dan memajukan diri kita bak kata pepatah “orang berbudi, kita berbahasa”.  Sebagai contohnya, kerajaan menyediakan sekolah dan prasarana yang secukupnya untuk memudahkan kita menimba ilmu..  Kerajaan juga menyediakan biasiswa dan pinjaman untuk kita melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.  Oleh itu, kita hendaklah bekerja di negara sendiri sebagai tanda cinta dan bersyukur kepada negara serta kerajaan.
Selain itu, kita tidak perlu bersusah payah menyesuaikan diri dengan suasana dan keadaan tempat jika bekerja di negara sendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana kita dibesarkan dan sudah mengenali budaya serta pemikiran masyarakat di sini.  Oleh itu, kita akan terasa seperti tinggal di rumah sendiri. Namun, kita akan menjadi seperti masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak jika kita bekerja di negara luar. Kita harus mempelajari budaya kerja dan masyarakat mereka.  Sebagai contohnya, budaya masyarakat Jepun yang mengutamakan disiplin berbeza dengan budaya kerja di negara kita. Tegasnya, bekerja di negara sendiri tidak perlu menyesuaikan diri dengan suasana dan persekitaran baharu.
Bukan itu sahaja, kita juga mudah mendapat pinjaman dan bantuan jika kita bekerja di negara sendiri. Pihak kerajaan dan pihak swasta di negara kita menyediakan kemudahan pinjaman perumahan dan juga kemudahan kewangan yang lain termasuk kesihatan.  Sebagai contohnya, jika kita ingin membuat pinjaman peribadi untuk membeli rumah, pihak kerajaan atau pihak bank di negara kita menyediakan kemudahan ini kepada rakyat yang mempunyai pekerjaan tetap. Badan-badan kewangan mudah meluluskan pinjaman atau peruntukan tersebut kerana segala data butiran diri terdapat di sini.  Malahan, kita mudah mendapat bantuan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan kerana mereka tinggal berhampiran dengan kita.  Di negara asing, kita perlu memperoleh beberapa dokumen atau kelulusan yang membenarkan kita mendapatkan pinjaman dan kita sukar mendapat bantuan oleh sebab kita berada jauh daripada ahli keluarga kita. Tegasnya, kita mudah mendapat pinjaman serta bantuan kalau kita bekerja di negara sendiri.
Sebagai kesimpulannya, bekerja di negara sendiri lebih baik daripada bekerja di negara asing. Oleh itu, kita seharusnya bekerja di negara sendiri supaya dapat berbakti kepada masyarakat kita. Janganlah kita menjadi seperti kacang lupakan kulit meskipun kita menimba ilmu di negara asing. Walaupun seseorang itu dibayar dengan gaji yang tinggi, namun dari segi keselamatan kita akan menghadapi pelbagai masalah. Hal ini bertepatan dengan pepatah Melayu yang mengatakan hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

Fokus 7:
Anda telah menyertai pertandingan syarahan anjuran sekolah anda. Tajuk syarahan itu ialah ‘Perpaduan Menjamin Kesejahteraan Negara’. Tulis syarahan anda itu selengkapnya.

 Salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, yang dihormati barisan panel hakim yang bijaksana, yang dikasihi Tuan Hj. Rahman b. Juri, pengetua SMK Kebangsaan Bandar Seri Putera, para guru seterusnya rakan-rakan yang dihormati sekalian.  Pada pagi yang mulia ini saya ingin menyampaikan syarahan yang bertajuk ‘Perpaduan Menjamin Kesejahteraan Negara’.

Hadirin sekalian,
 Perdana Menteri yang kita sayangi telah memperkenalkan gagasan 1Malaysia. Matlamatnya adalah untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat. Oleh sebab negara kita terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum dan kepercayaan, perpaduan perlu dititikberatkan. Hal ini dikatakan demikian kerana perpaduan teras kejayaan dan asas kemakmuran sesebuah negara.  Peristiwa 13 Mei yang berlaku pada tahun 1969 harus dijadikan pengajaran apabila pergaduhan kaum tercetus. Peristiwa berdarah ini benar-benar telah menggugat keamanan dan kestabilan negara. Oleh itu, semua rakyat perlu sedar bahawa perpaduan dalam kalangan rakyat amat penting untuk menjamin kesejahteraan dan pembangunan negara.

Hadirin sekalian,
Satu daripada kepentingan perpaduan ialah perpaduan dapat mewujudkan negara yang aman dan harmoni tanpa sebarang kekacauan. Jika terdapat sebarang masalah timbul, kita mestilah menyelesaikannya melalui perundingan atau permuafakatan kerana `muafakat membawa  berkat’. Melalui cara ini, kita akan dapat mengelakkan keadaan yang kacau bilau seperti pergaduhan, permusuhan, dan sebagainya daripada berlaku.  Sebagai contohnya, kita akan dapat hidup dalam keadaan yang selesa dan harmoni, jika semua kaum bersatu hati dan bekerjasama ibarat berat sama-sama dipikul, ringan sama-sama dijinjing untuk melaksanakan sesuatu program. Melalui persefahaman, kita akan dapat melaksanakan pelbagai kegiatan dan mampu menangani pelbagai kemelut yang mampu menggugat keamanan dan kestabilan. Segala peristiwa yang berlaku di luar negara seperti perselisihan yang berlaku antara puak di Iraq atau di Negara Thailand hendaklah kita jadikan ikhtibar, iaitu yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.

Hadirin yang dihormati sekalian,
Selain itu,  perpaduan dalam kalangan rakyat akan membolehkan negara kita menjadi tuan rumah pelbagai acara yang bertaraf antarabangsa.  Masihkah kita ingat bahawa negara kita pernah menganjurkan Sukan Komanwel pada tahun 1998?  Negara kita juga berjaya menjadi penganjur Kejohanan Perlumbaan Kereta Formula 1, Kejohanan Lumba Basikal Le Tour d’ Langkawi, dan sebagainya.  Kejayaan Malaysia menganjurkan sukan berprestij ini amat dikagumi oleh kebanyakan negara di dunia.  Kejayaan ini membuktikan bahawa kita mampu melakukan apa-apa sahaja melalui kerjasama dan semangat yang tinggi bak kata pepatah Melayu, ‘Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh’.  Slogan `Malaysia Boleh’ turut merealisasikan semangat perpaduan dalam kalangan penduduk Malaysia yang berbilang kaum.

Hadirin sekalian,
Perpaduan juga penting kerana rakyat yang bersatu padu mampu untuk membangunkan negara. Menurut pujangga, lidi sebatang mudah patah berbanding sebatang penyapu yang begitu sukar dipatahkan.  Dalam hal ini, negara kita akan menjadi kukuh dan teguh jika semua rakyat bersatu padu.  Sebagai contohnya, negara kita telah maju dalam pelbagai bidang seperti bidang ekonomi, sains dan teknologi, dan sebagainya hasil daripada kerjasama daripada semua rakyat Malaysia.  Hal ini menyebabkan negara kita semakin maju dan mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara maju yang lain.  Kejayaan ini sukar dicapai jika rakyat Malaysia bersikap seperti enau di dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.

Hadirin sekalian,
Kita perlu mempertahankan negara kita daripada diceroboh oleh pihak luar. Untuk mempertahankan negara kita daripada diceroboh atau ditewaskan oleh negara lain, kita perlu bersatu padu.  Sebagai rakyat Malaysia, kita mestilah mempertahankan keamanan dan kedaulatan yang kita kecapi sebelum ini. Peristiwa yang berlaku di luar negara seperti serangan Amerika Syarikat terhadap negara Iraq membuktikan bahawa pertelingkahan dan pergaduhan sesama sendiri telah memberikan peluang kepada pihak musuh untuk menceroboh negara yang berkenaan. Dalam hal ini, kita mestilah sentiasa bersatu padu kerana segelintir rakyat yang membuat angkara, negara kita akan menjadi lemah dan akhirnya hancur kerana dikalahkan pihak musuh ibarat telur sesangkak pecah sebiji pecah semuanya.

Hadirin yang dihormati,
 Para pelancong dari luar negara akan menjadikan negara kita sebagai destinasi mereka jika negara kita berada dalam keadaan aman dan sentosa. Baru-baru ini, beberapa tempat bersejarah di negara kita telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia.  Nama negara kita tiba-tiba harum semerbak ke seantero dunia kerana memiliki artifaks yang bersejarah dan bernilai tinggi. Namun demikian, jika negara kita berada dalam keadaan yang kacau bilau, bagaimanakah kita dapat memulihara dan mengekalkan warisan yang bersejarah ini?  Peperangan yang berlaku di Iraq telah menyebabkan warisan dunia yang terdapat di negara itu musnah menjadi padang jarak padang tekukur.  Adakah peristiwa yang berlaku di Iraq itu dibirkan berlaku di negara kita? Tepuk dada tanyalah selera. Jika kita ingin menjadikan negara kita sebagai tempat tumpuan pelancong sekali gus meningkatkan pengaliran wang masuk ke negara kita, kita mestilah mempertahankan perpaduan yang telah kita nikmati selama ini.
Sebelum saya mengundurkan diri, saya ingin menegaskan bahawa perpaduan amat penting untuk mencapai kesejahteraan negara.  Jika kita leka atau sentiasa bersengketa, perpaduan yang sudah terjalin hampir 53 tahun ini akan hancur pada bila-bila masa. Oleh itu,  marilah kita bersama-sama mempertahankan perpaduan yang telah kita bina ibarat ke bukit sama-sama kita daki, ke lurah sama-sama kita turuni sampai bila-bila.  Dalam hal ini, semua rakyat Malaysia mestilah sanggup mempertahankan negara daripada diganggu gugat oleh musuh dari luar ibarat biar putih tulang jangan putih mata. Ingatlah bahawa semangat perpaduan ini perlulah dipelihara sebelum nasi menjadi bubur agar semua rakyat Malaysia dapat menikmati keharmonian dan kesejahteraan .  Oleh hal yang demikian, perpaduan yang kita bina sudah tentu dapat menjamin kesejahteraan negara.
Sekian terima kasih.



Fokus 8:
Bersempena dengan Bulan Bahasa Melayu yang dijalankan di sekolah anda, satu pertandingan syarahan telah diadakan. Anda telah menyertai pertandingan tersebut yang bertajuk “Membaca Jambatan Ilmu”. Tulis teks syarahan anda selengkapnya.

Isi:
1.       Membaca dapat menambahkan pengetahuan dan membolehkan kita mengetahui banyak perkara.
2.       Membaca dapat mematangkan fikiran dalam pelbagai perkara.
3.       Membaca dapat menjadikan seseorang itu berfikir terlebih dahulu dalam sebarang tindakan.
4.       Membaca dapat memajukan diri seseorang, bangsa dan negaranya.


                Terima kasih saya ucapkan kepada Pengerusi Majlis. Salam sejahtera dan selamat pagi diucapkan kepada Yang Berusaha, Tuan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 3, Bandar Kinrara, guru-guru penolong kanan, ketua-ketua bidang, guru cemerlang, guru-guru dan rakan-rakan pelajar sekalian.
                Saya amat bersyukur  kepada Tuhan kerana pada pagi yang indah dan ceria ini saya berpeluang untuk menyampaikan syarahan kepada rakan-rakan pelajar. Syarahan yang akan saya sampaikan bertajuk ‘Membaca Jambatan Ilmu’. Syarahan ini bersesuaian dengan pelbagai kempen galakan membaca yang dijalankan oleh pihak kerajaan. Kita semua sedia maklum, selain menambahkan ilmu pengetahuan, membaca juga mempunyai pelbagai faedah.

Rakan-rakan sekalian,
Amalan membaca merupakan suatu cabang ilmu yang sangat penting kepada masyarakat pada hari ini. Hal ini dikatakan demikian kerana banyak perkara yang tidak dapat kita ketahui hanya melalui pengalaman. Kebanyakan perkara yang berlaku di dunia ini dapat kita ketahui melalui pembacaan. Semakin banyak kita membaca bahan bacaan yang berfaedah, semakin banyak pengetahuan yang akan kita peroleh. Sesungguhnya amat tepat sekali slogan yang menyatakan, ‘Membaca Jambatan Ilmu’.

Rakan-rakan pelajar sekalian,
Selain itu, dengan ilmu yang telah kita peroleh melalui pembacaan, pemikiran kita akan menjadi lebih matang. Hal ini membolehkan kita berfikir tentang banyak perkara. Oleh itu, hal ini dapat mengelakkan kita daripada menjadi orang yang jumud dan beku. Umpamanya, orang yang banyak membaca lebih cepat menjadi matang walaupun pada usia yang muda. Ini menjadi bukti sahih kepada kita bahawa pembacaan dapat mematangkan seseorang dalam sebarang tindakannya sama ada pertuturan atau perbuatannya.

Rakan-rakan sekalian,
Orang yang banyak membaca bukan sahaja memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi malah amalan ini dapat menjadikan seseorang itu berfikir terlebih dahulu sebelum bertindak. Ini membolehkan sebarang tindakannya rasional dan tidak mengikut perasaan. Ilmu pengetahuan melalui pembacaan yang diperolehnya akan memandunya mengambil tindakan yang tepat dan betul. Umpamanya, sewaktu membuat sebarang keputusan yang penting. Jelaslah bahawa ilmu pengetahuan yang dimilikinya dapat mengawal dirinya daripada sebarang tindakan yang melulu.
Selain itu, seseorang yang suka membaca tidak akan ketinggalan. Mereka sentiasa mengikuti perkembangan tentang ilmu yang terkini. Para cendekiawan menyatakan bahawa sesiapa yang membaca fikirannya sentiasa terbuka dan tidaklah dikatakan seperti katak di bawah tempurung. Apabila seseorang itu membaca, mereka dikatakan telah menerokai dunia. Hal ini dikatakan demikian kerana ilmu yang terdapat dalam kebanyakan bahan bacaan sebenarnya datang dari seluruh pelosok dunia. Oleh itu, setiap orang hendaklah menjadikan membaca sebagai budaya supaya supaya segala ilmu yang berkembang di dunia ini dapat diketahui dan diikuti.

Rakan-rakan sekalian,
Aktiviti membaca bukan sahaja memberikan ilmu kepada seseorang malah dapat memajukan diri, masyarakat dan bangsanya. Hal ini dikatakan demikian kerana ilmu yang ada padanya dapat digunakan untuk faedah dan manfaat banyak pihak.  Tanpa ilmu pengetahuan, amat sukar seseorang itu untuk mengubah keadaan dirinya, masyarakat dan negaranya. Sebahagian besar daripada ilmu yang diperolehnya sudah pasti datang daripada pembacaan yang luas. Ini menunjukkan kepada kita bahawa ilmu daripada tabiat membaca boleh membawa perubahan kepada masyarakat.

Rakan-rakan pelajar sekalian,
Jelaslah kepada kita bahawa slogan ‘membaca jambatan ilmu’ amat tepat.   Kecenderungan membaca amat penting kepada masyarakat dan negara menuju ke arah pembentukan negara maju pada masa akan datang. Ringkasnya, kemajuan sesebuah negara tidak dapat dipisahkan daripada tabiat membaca di kalangan rakyatnya.
Sekian, terima kasih.

6 ulasan: