Sabtu, 22 Ogos 2015

PANDUAN DAN CONTOH KARANGAN

...dipetik daripada hasil penulisan cikgu Abdul Ghalib untuk pelajar SMKAB
.. AR[Ayat Rangsangan] ..AA[Ayat Arahan], AJ[Ayat Judul/Ayat Topik],AH[Ayat Huraian], AC[Ayat Contoh,] AP[Ayat Penyimpul]

Fokus karangan
Tema 1 – Cuti Sekolah
Soalan 1 :
Huraikan cara-cara yang anda lakukan untuk menghabiskan cuti sekolah anda.
Jawapan:
Strategi:
T= Cuti sekolah
K=Cara menghabiskan cuti sekolah
F=Umum
Isi:
1. menolong ibu bapa menguruskan kerja rumah
2. melancong
3. mengunjungi perpustakaan awam
4. membuat latihan atau latih tubi soalan SPM

        (AR) Pada setiap tahun, bulan November dan Disember sentiasa dinantikan oleh setiap pelajar. (AR) Kini, cuti sekolah akhir tahun hampir menjelang. (AR) Untuk memanfaatkan cuti sekolah dengan berfaedah, saya telah merancang pelbagai aktiviti kerana masa itu emas. (AA) Terdapat pelbagai cara yang saya lakukan untuk menghabiskan masa cuti sekolah saya.
       
        (AJ) Salah satu caranya ialah saya akan menolong ibu bapa menguruskan kerja rumah. (AH)  Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa bersusah payah untuk menyara saya sekeluarga. (AC) Sebagai contohnya, saya akan membantu ibu bapa dengan menjaga adik-beradik yang masih kecil dan juga memastikan rumah sentiasa bersih dan terurus. (AP) Melalui cara ini, saya dapat membantu untuk meringankan tugas ibu bapa ibarat berat sama dipikul ringan sama dijinjing.

       Selain itu, (AJ) saya akan bersama keluarga untuk makan angin ke Pulau Pinang dan Pulau Langkawi. (AH) Di samping dapat menambah pengalaman, aktiviti  ini akan dapat menenangkan fikiran saya. (AC) Sebagai contohnya, saya akan berenang di tepi Pantai Batu Feringgi dan bermain catur dengan adik-beradik di dalam hotel. (AP) Melalui cara ini, saya dapat mengeratkan hubungan dengan ahli keluarga.

       Di samping itu, (AJ) saya juga akan berkunjung ke perpustakaan awam untuk membaca buku. Di sana, saya dapat membaca bermacam-macam jenis buku. (AC) Sebagai contohnya, saya dapat membaca pelbagai jenis buku untuk meluaskan  ilmu pengetahuan tentang  politik, kesusasteraan, kesenian, dan lain-lain lagi. (AP) Apabila banyak membaca, saya tidak dikatakan sebagai katak di bawah tempurung.

       Bukan itu sahaja, (AJ) saya akan banyak membuat latihan atau latih tubi soalan PMR yang lepas. (AH) Hal ini dikatakan demikian kerana saya akan menduduki peperiksaan PMR pada tahun hadapan. (AH) Saya haruslah membuat persediaan lebih awal bak kata pepatah, “sediakan payung sebelum hujan” agar tidak menyesal kemudian hari. (AP) Dengan itu, saya yakin bahawa saya akan lulus dengan cemerlang dalam setiap peperiksaan.

      Sebagai kesimpulannya, (A Ksmpln) saya harus memanfaatkan masa lapang dengan melakukan perkara yang berfaedah. (A Hrpn) Ibu bapa sering mengingatkan saya bahawa masa yang berlalu tidak akan berulang lagi. Mereka juga sering mengingatkan bahawa apa-apa yang kita lakukan pada hari ini hendaklah lebih baik daripada hari semalam. Oleh itu, (A Cdgn) saya akan sentiasa merancang untuk memenuhi masa lapang saya semasa cuti sekolah ini dengan aktiviti yang bermanfaat.



Tema 2 – Keluarga Impian Saya (Keluarga)

Soalan 2:
Anda ingin menulis sebuah rencana yang bertajuk “Keluarga Impian Saya” untuk dimuatkan dalam majalah sekolah.
Tulis rencana itu selengkapnya.
Jawapan:
Strategi:
T=Keluarga Impian saya
K=Ciri=ciri
F=Rencana
Isi:
1. mempunyai sumber kewangan yang kukuh
2. patuh akan ajaran agama dan memiliki moral atau akhlak yang terpuji.
3. saling menyayangi antara satu sama lain
4. mempunyai latar belakang pendidikan yang cemerlang.

Keluarga Impian Saya
Oleh : Hanis Sufia

            (AR) Keluarga ialah sebuah institusi yang terdiri daripada bapa, ibu ,anak-anak, saudara mara dan sebagainya. (AR) Sebagai insan biasa, semua orang mengimpikan sebuah keluarga yang bahagia. (AR) Saya juga ingin memiliki keluarga yang bahagia. (AA) Terdapat pelbagai ciri yang perlu ada dalam keluarga impian saya.
           
(AJ) Keluarga impian saya mestilah mempunyai sumber kewangan yang kukuh. (AC)Sebagai contohnya, ibu bapa saya mestilah mempunyai pendapatan yang tinggi sekurang-kurangnya RM10,000.00 sebulan. (AH)Jika kedudukan kewangan keluarga saya kukuh, segala kelengkapan dan permintaan saya akan dipenuhi oleh kedua-dua ibu bapa saya. (AP)Oleh itu, mereka juga tidak mempunyai masalah untuk memberikan wang yang secukupnya kepada saya apabila saya memerlukannya.

            (AJ)Saya juga mengimpikan keluarga yang patuh akan ajaran agama dan memiliki moral atau akhlak yang terpuji. (AH)Ahli keluarga saya sentiasa mematuhi perintah Tuhan dengan melaksanakan suruhan Tuhan dan meninggalkan segala yang dilarang. (AC)Sebagai contohnya, ahli keluarga saya akan menunaikan solat apabila tiba waktunya, sentiasa merendah diri, suka melakukan amal kebajikan, pemurah dan sebagainya. (AP)Melalui cara ini, Tuhan akan sentiasa memberkati keluarga saya dan memberi kami kebahagiaan hidup di dunia mahupun di akhirat.

            Selain itu, (AJ)keluarga impian saya mestilah saling menyayangi antara satu sama lain dan tidak mempunyai perasaan seperti enau di dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. (AH) Ahli keluarga terutamanya kedua-dua ibu bapa saya mestilah mementingkan anak-anaknya daripada urusan kerjanya. (AH) Mereka hendaklah sedia mendengar masalah saya atau adik-beradik yang lain dan membantu menyelesaikan masalah tersebut.  (AP) Namun demikian, Ibu bapa saya juga perlu memantau pencapaian akademik dan sahsiah saya supaya saya tidak leka untuk mencapai kejayaan yang cemerlang baik dalam kurikulum dan kokurikulum.

            Di samping itu, (AJ)keluarga impian saya mestilah mempunyai latar belakang pendidikan yang cemerlang. (AH)Untuk itu, setiap ahli keluarga saya mempunyai kelulusan yang tinggi sekurang-kurangnya kelulusan pada peringkat ijazah. (AC)Misalnya, ibu bapa saya memiliki kelulusan Doktor Falsafah, abang dan kakak saya memiliki Ijazah  Sarjana, dan sebagainya. (AP)Dengan memiliki kelulusan yang tinggi, keluarga saya akan dihormati dan disegani.

            Sebagai kesimpulannya, (A Ksmpln) semua orang berharap agar memiliki keluarga yang sempurna. (A Pnln) Pihak kerajaan sentiasa mengadakan kempen untuk melahirkan keluarga yang sempurna kerana `Keluarga Sempurna Negara Sentosa’. (A Hrpn) Walaupun tiada manusia  dilahirkan  sempurna, saya akan berusaha untuk melakukan sesuatu yang terbaik untuk keluarga saya. Oleh itu, (A  Hrpn) saya akan berusaha untuk merealisasikan keluarga impian saya kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Tema 3 – Amalan Kunjung-Mengunjungi (Masyarakat)

Soalan 3:
Amalan kunjung-mengunjungi dalam kalangan penduduk setempat perlu dihidupkan semula. Bincangkan kenyataan ini.
Jawapan:
Strategi:
T: Amalan kunjung-mengunjungi dalam kalangan penduduk setempat.
K: Langkah-langkah /usaha-usaha
F: Umum

Isi:
1. menghidupkan budaya kunjung-mengujungi dengan mengunjungi jiran terdekat
2. mengadakan rumah terbuka pada hari perayaan
3. haruslah mengadakan kempen melalui media massa.
4. ibu bapa perlulah mendidik anak-anak supaya menjadikan amalan kunjung-mengunjungi sebagai budaya.

(AR) Amalan kunjung-mengunjungi dalam kalangan penduduk setempat semakin dilupakan. (AR) Semasa hari perayaan, amalan ini sudah semakin kurang dipraktikkan. (AR) Masyarakat pada hari ini lebih gemar berada di rumah sendiri kerana menghabiskan masa dengan ahli keluarga sendiri yang telah lama tidak berjumpa atau duduk menghadap peti televisyen. (AR) Masalah ini menyebabkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat tidak mesra dan antaranya tidak pernah bertegur sapa. (AA) Persoalannya ialah apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan bagi menghidupkan amalan kunjung-mengunjungi dalam kalangan penduduk setempat?

(AJ) Satu daripada cara yang boleh dilakukan untuk menghidupkan amalan  ini ialah kita hendaklah  mengunjungi jiran kita. (AH) Sebagai jiran, kita hendaklah selalu melawat jiran untuk mengetahui keadaannya sama ada sihat atau tidak. (AH) Jika kita baru pulang dari makan angin sama ada di dalam atau di luar negara, kita digalakkan mengunjungi jiran dan  memberikan  buah tangan kepada mereka. (AH) Usaha ini dapat menjalinkan hubungan yang baik sesama jiran dan dapat mengelakkan budaya mengumpat dalam kalangan masyarakat setempat terhadap kita. (AP) Tegasnya, amalan kunjung-mengunjungi hendaklah dijadikan budaya dalam kehidupan yang berkonsepkan hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.

Selain itu, (AJ) musim perayaan merupakan musim yang paling sesuai untuk berkunjung ke rumah penduduk setempat. (AH) Sebagai jiran,  kita perlulah mengadakan rumah terbuka pada hari perayaan, bukan sahaja sesama kaum, malah kaum-kaum lain juga berbesar hati untuk berkunjung ke rumah kita untuk menikmati makanan tradisional dan juga ingin mengetahui adat resam kita. (AC) Sebagai contohnya, semua penduduk setempat hendaklah mengunjungi rumah rakan jiran atau penduduk di kawasan tempat tinggal mereka pada setiap hari perayaan seperti sambutan Aidilfitri, Deepavali, Krismas, Tahun Baru China, dan sebagainya. (AP) Melalui aktiviti ini, amalan kunjung-mengunjungi dapat meningkatkan hubungan yang erat dalam kalangan masyarakat. 

Di samping itu, (AJ) kerajaan juga haruslah mengadakan kempen melalui media massa. (AH) Kempen ini bertujuan menyedarkan penduduk setempat bahawa amalan kunjung-mengunjungi dapat melahirkan rakyat yang bersatu padu. (AH) Dalam zaman moden ini, terdapat sebilangan penduduk yang mengamalkan sikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. (AH) Dengan mengadakan kempen tentang kebaikan amalan kunjung-mengunjungi ini, tanggapan negatif terhadap jiran dapat dikurangkan. (AP) Tegasnya, kempen kesedaran ini dapat menyedarkan penduduk setempat supaya tidak menconteng arang ke muka orang lain atau menjatuhkan air muka jiran tetangga lantaran kita tidak mengenali atau berkenal mesra dengan mereka.

Seterusnya, (AJ) ibu bapa perlulah mendidik anak-anak supaya menjadikan amalan kunjung-mengunjungi sebagai budaya. (AH) Untuk menyuburkan amalan ini, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ketika mengunjungi jiran kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. (AH) Tindakan ini akan menyebabkan anak-anak akan menjaga nama baik keluarga mereka dengan menjalinkan hubungan yang akrab dengan penduduk setempat. Oleh itu, (AP) ibu bapa hendaklah mendidik anak dan menjadi teladan kepada anak-anak untuk menjadikan amalan kunjung-mengunjungi sebagai tabiat kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.

Sebagai kesimpulannya, (A Ksmpln) semua pihak perlulah berganding bahu dengan penduduk setempat bagai aur dengan tebing untuk menghidupkan amalan kunjung-mengunjungi dalam kalangan penduduk setempat. (A Cdgn) Budaya yang murni ini perlu dihidupkan bagi mengelakkan hubungan yang semakin tegang dalam masyarakat pada hari ini. (A Pnln) Apabila mereka saling mengenali, perhubungan yang mesra akan terjalin. (A Pnln) Apabila perhubungan dalam kalangan masyarakat semakin baik, perasaan seperti berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya dan juga cubit paha kanan, paha kiri terasa juga akan wujud. Oleh itu, (A Cdgn) semua pihak mestilah memastikan budaya kunjung-mengunjungi ini sentiasa menjadi amalan sepanjang zaman supaya budaya warisan yang tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan ini berkekalan.

Tema 4: Kemalangan Jalan Raya (Negara)
Soalan 4:
Kes kemalangan jalan raya di negara kita semakin meningkat. Bincangkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menangani musibah ini.
Soalan:
Strategi:
T=Kemalangan Jalan Raya
K=langkah
F=Umum
Isi:
1. Setiap pengguna jalan raya perlulah sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya.
2. ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak supaya mematuhi undang-undang dan peraturan di jalan raya
3. pihak kerajaan pula hendaklah menguatkuasakan semua undang-undang tanpa memilih bulu

Jawaban:
(AR) Isu tentang kemalangan jalan raya sering menjadi buah mulut dalam kalangan masyarakat. Kes kemalangan jalan raya yang dilaporkan ini semakin meningkat dari masa ke masa  bagai cendawan tumbuh selepas hujan.. (AR) Statistik kecelakaan di jalan raya ini akan meningkat secara mendadak pada musim-musim perayaan. (AA) Oleh itu, semua pihak mestilah mengambil langkah yang proaktif, iaitu cegah sebelum parah untuk mengurangkan musibah ini.
(AR) Setiap pengguna jalan raya perlulah sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya. (AH) Mereka mestilah berpegang pada prinsip `ingat sebelum kena, jimat sebelum habis’. (AC) Sebagai contohnya, setiap pengguna jalan raya hendaklah mematuhi setiap papan-pan tanda yang terdapat di jalan-jalan raya. (ARP)  Jika sikap ini diamalkan, kemalangan jalan raya sudah tentu dapat dielakkan.
Selain itu, (AJ) ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak supaya mematuhi undang-undang dan peraturan di jalan raya. (AH) Mereka perlu diasuh sejak kecil  kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. (AC) Sebagai contohnya, ibu bapa hendaklah menjelaskan kepentingan mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya kepada anak-anak. (AP) Melalui cara ini, mereka tidak akan membahayakan diri sendiri dan juga orang lain ketika di jalan raya.
Bukan itu sahaja, (AJ) pihak kerajaan pula hendaklah menguatkuasakan semua undang-undang tanpa memilih bulu. (AH) Apabila disaman, pemandu akan berasa serik untuk mengulangi kesalahan tersebut kerana sekali kena dua kali jalan tahu. (AC) Sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan jalan raya yang berat, mereka hendaklah dikenakan denda maksimum sejumlah RM300.00. (AP) Melalui cara ini, rakyat akan dididik supaya menghormati undang-undang di jalan raya.
Sebagai kesimpulannya, (A Ksmpln) kemalangan jalan raya boleh berlaku pada bila-bila masa kerana malang tidak berbau. Oleh itu, (A Cdgn) kita mestilah mematuhi undang-undang jalan raya dan menghormati hak pengguna yang lain supaya kita tidak menyesal kemudian hari kerana sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya. (A Hrpn) Jadi, slogan yang diuar-uarkan oleh kerajaan, iaitu `Pandu Cermat Jiwa Selamat” hendaklah menjadi pedoman kepada kita semua.



Tema 5: Cerita – Aku Keseorangan (KOMSAS)

Soalan 5:
Pada malam itu, aku tinggal seorang diri di rumah. Ibu bapaku menghadiri satu majlis di sebuah hotel. Kakak dan abangku pula telah pulang ke kolej kerana cuit semesternya sudah tamat. Di luar, hujan turun dengan lebatnya. Tiba-tiba pintu rumahku diketuk orang………

Jawapan:
T: Keseorangan  di Rumah,
K: 5P
F: Umum/Cerita

Isi:
1.Permulaan/Pengenalan:Pintu rumahku diketuk orang,
2.Perkembangan:Elektrik di rumahku terputus,
3.Perumitan:Tingkap bilikku diketuk satu lembaga,
4.Puncak:Seorang kanak-kanak perempuan memanggil namaku,
5.Peleraian: Ibu bapaku pulang.


Jawapan:
Aku berfikir sejenak sambil meneguk air bagi menghilang dahagaku.” Tidak mungkin itu ibu bapaku kerana mereka baru sahaja keluar. Ah, mungkin mereka tertinggal barang! Ketukan di pintu semakin kuat. Aku terus berlari dari dapur menuju ke ruang tamu. Aku terus membuka pintu, tetapi tiada sesiapa pun di pintu. Aku sudah menjenguk di sekitar rumahku ternyata memang tiada orang. Aku kemudiannya menutup pintu rumahku semula sambil memikirkan ketukan itu sama ada khayalan aku ataupun sebaliknya.

            Oleh sebab aku terlalu bosan, aku terus ke bilikku lalu mencapai senaskhah majalah Mastika yang terletak bersebelahan dengan meja belajarku. Semasa aku sedang khusyuk membaca sebuah cerpen seram daripada majalah mastika itu, tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Berderau darahku sehinggakan majalah yang aku baca tadi tercampak ke dinding disebabkan aku terkejut. Kemudian, aku mencapai jam yang terletak di atas mejaku. Jam menunjukkan tepat pukul 12:00 tengah malam. Aku menguatkan semangatku lalu mengambil lilin di dalam laci pakaianku. Aku turun dengan berhati-hati kerana keadaan amat gelap. Tiba-tiba, aku terdengar bunyi tapak kaki, dan aku dapat merasakan seperti ada orang yang mengekoriku. Aku menoleh ke belakang perlahan-lahan, namun tiada sesiapa di belakangku. Mungkin aku cuma berkhayal. Selepas aku menyalakan lilin, aku terus naik semula ke bilikku.

            Aku meletakkan lilin itu di atas meja belajarku. Bilikku menjadi sunyi sepi, bilikku pula gelap cuma samar-samar cahaya lilin sahaja. Fikiranku melayang entah ke mana. Tiba-tiba, aku dikejutkan dengan bunyi ketukan yang amat kuat dari arah jendelaku. Aku terus berselubumg dengan selimut dan menekup mukaku dengan bantal. Namun, bunyi itu semakin lama semakin kuat. Kemudian, secara tiba-tiba bunyi itu hilang. Jam menunjukkan pukul 12:30 tengah malam.

            Aku dapat merasakan kaki dan tanganku menggeletar dengan ketara. Dalam kesunyian malam, tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Aku teragak-agak untuk mengangkat telefon bimbitku. Tetapi, akhirnya aku memberanikan diriku untuk menjawab panggilan itu. Kemudian, orang di talian itu berkata kepadaku, ”Kamu tidak mungkin akan dapat tidur…,” belum sempat dia menghabiskan ayatnya aku terus memutuskan talian. Tiba-tiba aku terdengar sayup-sayup suara kanak-kanak perempuan yang menakutkan memanggil namaku. ”Syafinaz,oh…Syafinaz…di manakah kamu. Hah, aku tahu.. kamu pasti berada di dalam bilik!” kata kanak-kanak perempuan itu. Aku mencuba untuk melarikan diri, namun badanku terasa berat seperti ada sesuatu yang menahanku daripada bangun.

Kemudian, kanak-kanak itu menghampiriku.” Aku ingin bermain dengan kamu,  bolehkah? Aku tidak ada kawan,” kata kanak-kanak itu .Mulutnya berbau busuk seperti bau kemenyan. Aku menguatkan semangatku. Aku membaca Surah Al-Fatihah dan ayat Kursyi. Dengan kuasa Allah, makhluk yang mengerikan itu ghaib.Kemudian, pintu rumahku diketuk lagi sekali. Siapakah pula kali ini? Mugkin lagikah makhluk yang mengerikan itu ataupun ibu bapaku? Semasa aku hendak turun ke bawah, aku terlihat dua lembaga hitam mundar-mandir di tingkap rumahku.” “Mungkin ibu dan ayah,” bisik hati kecilku. Tanpa membuang masa, aku terus membuka pintu, alangkah terkejutnya aku kerana itu bukanlah ibu mahupun bapaku, tetapi itu merupakan kanak-kanak perempuan tadi. Aku terus pitam.

Tiba-tiba, aku dapat merasakan badanku digoyang-goyangkan, kemudian aku mendengar suara seorang perempuan memanggil-manggil namaku berulang-ulang kali. Aku dapat melihat dua lembaga yang berada di sisiku. Apabila aku tenung wajah kedua-dua lembaga itu, alangkah gembiranya aku bahawa rupa-rupanya itu ialah ibu bapaku. Ibuku memberitahuku bahawa aku tertidur di hadapan pintu .Apabila aku menceritakan segala-galanya kepada kedua-dua orang tuaku, mereka sukar untuk mempercayai kata-kataku. Aku tidak akan dapat melupakan peristiwa yang pelik ini sampai bila-bila.



5 ulasan:

  1. Thanks cg..ia membantu saya..😊

    BalasPadam
  2. 10q A lot... Tq so much... Dan karangan yg baik Dan semuanya bagus

    BalasPadam
  3. Harries@yes.my👍🏻👍🏻👍🏻👍🏻👍🏻👍🏻👍🏻👍🏻👍🏻👍🏻👍🏻👍🏻👍🏻👍🏻👍🏻👍🏻👍🏻👍🏻👍🏻Tnk to hlp me

    BalasPadam